Total Pageviews

Saturday, 20 September 2014

Langkah mengatasi masalah pencemaran alam sekitar




Langkah mengatasi masalah pencemaran alam sekitar




Dalam usaha mengatasi masalah-masalah alam sekitar seperti pencemaran tanah, air serta udara, penebangan pokok dan pembakaran terbuka, semua pihak harus menggembleng tenaga kerana tepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Pihak kerajaan telah berusaha menguatkuasakan undang-undang terhadap orang yang sengaja mencemarkan alam sekitar. Sebagai contohnya, hukuman denda duit sebanyak RM20,000.00 atau hukuman penjara selama 5 tahun untuk organisasi yang membuang sisa toksik ke dalam sungai . Hukuman ini secara tidak langsung dapat memberi kesedaran kepada masyrakat agar menjaga kebersihan alam sekitar demi kesejahteraan hidup. Selain itu, pihak swasta juga berusaha menganjurkan kempen kesedaran yang bertemakan sayangilah alam sekitar. Kempen ini bertujuan memberi kesedaran kepada masyarkat tentang kepentingan alam sekitar untuk mengekalkan keseimbangan eksistem dan menjamin kesejahteraan hidup manusia. Dalam kempen ini, pelbagai aktiviti dapat dijalankan seperti program menanam semula pokok, pertangingan mengutip sampah dan pertandingan melukis poster yang bertemakan alam sekitar untuk menarik perhatian peserta. Ibu bapa juga perlu memberi didikan awal kepada anak-anak sejak kecil lagi untuk memupuk nilai murni dalam jati diri mereka.
Ibu bapa merupakan suri teladan anak-anak kerana bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Oleh hal yang demikian, ibu bapa perlu menujukkan teladan yang baik di hadapan anak. Sebagai contohnya, ibu bapa boleh mendidik anak-anak membuang sampah ke dalam tong sampah yang disediakan dan membuat kitar semula terhadap sampah-sarap di rumah. Hal ini mampu memberi kesedaran kepada anak-anak tentang kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar. Seterusnya, masalah pnecemaran alam sekitar ini dapat diatasi melalui pendidikan. Guru-guru di sekolah perlu memberi ilmu pengetahuan tentang alam sekitar kepada murid-murid melalui mata pelajaran Geografi, Pendidikan Moral dan Agama serta Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Guru-guru perlu sentiasa memantau murid untuk melakukan sesuatu yang membawa manfaat terhadap alam sekitar kitar agar dapat memupuk nilai menyayangi dan menghargai alam sekitar dalam jati diri mereka. Sebagai contohnya, guru-guru boleh mengajar murid-murid untuk membahagikan kertas-kertas, botol dan tin cola untuk dikitar semula. Perbuatan ini secara tidak langsung dapat menyemai rasa tanggungjawab murid terhadap alams sekitar kita. Pendek kata, semua pihak bertanggungjawab untuk memulihkan alam sekitar kita demi keamanan hidup dan pembangunan negara kita.

Wednesday, 17 September 2014

isu alam sekitar - pencemaran bunyi



1.3 Pencemaran bunyi




Isu yang sering mendapat perhatian masyarakat kita ialah masalah pencemaran bunyi. Pencemaran bunyi didefinisikan sebagai hasil daripada mesin, haiwan atau manusia yang mengganggu aktiviti atau keseimbangan kehidupan manusia atau haiwan. Sebagai contohnya, bunyi kenderaan bermotor seperti kereta, lori serta bas, pembangunan kawasan industri seperti pemprosesan material, jentera, kenderaan serta aktiviti pembuatan dan pembinaan kawasan petempatan seperti cerucuk-cerucuk besi ditanam di dalam tanah untuk pembinaan bangunan-bangunan tinggi. Aktiviti kuari iaitu pemecahan batu, enjin gerudi dan pemunggahan batu ke lori dan aktiviti masyarakat seperti mendengar radio atau televisyen dengan kuat juga mendatangkan pencemaran bunyi yang membawa kesan negatif dalam kehidupan manusia. Apa yang kita ketahui pada masa kini ialah negara kita sedang pesat membangun. Bangunan-bangunan yang tinggi dan cantik dibangunkan dengan cepat.



Namun begitu, aktiviti-aktiviti yang dijalankan banyak mendatangkan bunyi yang bising dan mengganggu keseimbangan kehidupan manusia. Hal ini jelas kerana pencemaran bunyi telah menjejaskan kesihatan tubuh badan manusia. Terutama sekali, bunyi yang bising telah menyebabkan gangguan tidur masyarakat apabila aktiviti pembinaan kawasan petempatan dijalankan pada waktu malam. Hal ini sering berlaku kerana pekerja-pekerja terpaksa menghabiskan projek mereka dalam masa yang ditetapkan. Keadaan ini telah mengganggu masa rehat masyarakat yang penat bekerja sepanjang hari. Apabila masyarakat kita tidak cukup tidur, mereka akan berasa penat serta tidak berdaya dan bersemangat sepanjang hari. Masalah dari segi emosi juga akan timbul iaitu berasa gelisah dan cepat naik angin. Hal ini secara tidak langsung telah menjejaskan hasil kerja mereka kerana mereka tidak dapat menumpukan perhatian dalam pekerjaan mereka. Hasil kerja yang kurang memuaskan telah memberi impak negatif dalam pembengunan negara. Sebagai contonya, sebagai seorang guru yang tidak mempunyai masa rehat yang mencukupi pada waktu malam, maka dia tidak berdaya untuk mendidik anak-anak murid pada keesokan hari. Hal ini secara tidak langsung telah menjejaskan akademik murid-murid yang bakal menjadi insan yang berjasa dalam pambangunan negara, bak kata pepatah, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. 

Sunday, 14 September 2014

Isu alam sekitar




1.0 Isu alam sekitar


1.1 Pencemaran tanah





            Isu alam sekitar yang kini sering dijadikan tajuk utama perbualan masyarakat kita ialah isu pencemaran tanah yang telah memberi kesan negatif terhadap pembangunan negara. Malaysia telah menjadi salah satu tempat pelancongan yang terkenal di seluruh dunia kerana mempunyai hutan-hutan yang cantik dan menarik minat pelancong asing. Namun begitu, Malaysia kini telah menghadapi masalah pencemaran tanah yang telah menjejaskan industri pelancongan negara kita. Pencemaran tanah berlaku apabila sesuatu kawasan itu bertukaran warna, kesuburan, dan hakisan terhadap tanah. Pencemaran ini berlaku akibat pembuagan bahan-bahan buangan dari kilang, pembuagan sampah di merata-rata tempat, pembalakan yang tidak terkawal dan penggunaan racun yang berlebihan oleh sesetengah orang yang tidak bertanggungjawab dan hanya mementingkan keuntungan sendiri tanpa memikir kesannya terhadap negara kita. Pencemaran tanah ini telah menyebabkan gangguan terhadap tumbesaran tumbuh-tumbuhan. Hal ini telah menyebabkan negara kita kehilangan hutan-hutan yang cantik dan menyebabakan kepupusan binatang liar. Negara kita mendapat perhatian pelancong dari seluruh dunia kerana kita mempunyai hutan hujan tropika yang unik dan amat cantik. Pelbagai jenis binatang liar seperti orang hutan, burung enggang dan musang juga telah menarik minat para pelancong. Apabila pencemaran tanah berlaku, maka kesemua pemandangan alam sekitar yang indah ini akan dimusnahkan. Hal ini secara tidak langsung akan menjejaskan industri pelancongan negara kita.


1.2 Penebangan hutan



Seterusnya, aktiviti penebangan hutan yang bertujuan untuk pembinaan kawasan perumahan atau industri pelancongan, aktiviti pertanian dan pembalakan haram juga telah menyebabkan kemusnahan hutan yang agak serius. Negara kita kini sedang pesat membangun bangunan-bangunan yang tinggi, kilang dan rumah-rumah untuk mencapai kemewahan dan keselasaan rakyat. Masyarakat juga menjalan aktiviti penebangan hutan secara haram untuk tujuan aktiviti pertanian. Aktiviti pertanian penanaman padi bukit di Sarawak banyak dijalankan secara berpindah randah.  Aktiviti pertanian secara berpindah randah ini telah memusnahkan kawasan hutan kerana sebelum melakukan pertanian, hutan perlu ditebang dan seterusnya akan dibakar. Namun, masyarakat kita telah mengabaikan kesannya terhadap pembangunan negara kita apabila tidak menjalankan aktiviti penebangan hutan secara terancang. Apabila berlakunya penebangan hutan secara haram, binatang-binatang liar ini akan kehilangan tempat tinggal dan sumber makanan. Lama-kelamaan, binatang-binatang liar ini akan semakin pupus akibat kelaparan. Hal ini menyebabkan pelancong asing tidak lagi berminat melancong ke negara Malaysia kerana tidak dapat menikmati pemandangan alam sekitar yang cantik serta binatang-binatang liar yang unik. Pendek kata, isu pencemaran tanah yang dihadapi pada masa kini mampu menjejaskan industri pelancongan negara kita.

Selain menjejaskan industri pelancongan, aktiviti penebangan hutan yang tidak terkawal juga telah menyebabkan kesan rumah hijau. Hal ini demikian kerana kepupusan pokok telah menyebabkan berkurangnya penukaran karbon dioksida kepada organik karbon di udara dan secara tidak langsung peningkatan pemekatan karbondioksida di udara akan menyebabkan masalah pemanasan dunia. Kejadian ini menyebabkan ramai orang sakit dan menghidap penyakit kanser kulit akibat suhu bumi yang terlalu tinggi. Hal ini telah menyebabkan masyarakat kita tidak dapat menjalankan aktiviti di luar rumah seperti aktiviti pertanian kerana takut akan sakit akibat cuaca yang terlalu panas dan tidak selesa. Sayur-sayuran yang ditaman juga tidak dapat hidup kerana cuaca yang tidak bersesuaian. Hal ini menyebabkan hasil pengeluaran pertanian terpaksa berkurangan dan secara tidak langsung menyebabkan kenaikan harga sayur-sayuran. Rakyat terpaksa membelanja wang yang lebih banyak untuk membeli sayur-sayuran di pasar. Hal ini menyebabkan rakyat Malaysia tepaksa bekerja di luar negara seperti Singapura, Brunei dan New Zealand untuk menyara kehidupan keluarga mereka kerana pendapatan di luar negara dikatakan lebih lumayan berbanding di negara kita. Hal ini menyebabkan negara kita mengalami kekurangan orang yang berkualiti dan secara tidak langsung memberi impak terhadap pembangunan negara kerana negara tidak dapat dibangunkan dengan pesat dan maju jika tiada rakyat yang berkualiti.

Wednesday, 10 September 2014

PENCEMARAN AIR


PENCEMARAN AIR



         Pencemaran air merupakan isu alam sekitar yang mendatangkan impak negatif terhadap pembangunan negara kita. Pencemaran air berlaku apabila berlakunya perubahan kepada air dari segi kandungan atau warna serta sifat-sifat kimia yang disebabkan oleh pelbagai bahan pencemar dalam pelbagai bentuk seperti pepejal, cecair dan gas. Sesetengah masyarakat kini mempunyai sikap mementingkan diri sendiri tanpa memikir kesan kelakuan mereka yang kurang bertanggungjawab itu. Hal ini jelas kerana mereka tidak mempunyai kesedaran sivik dalam diri mereka untuk menjaga alam sekitar kerana bagi sesetengah individu, mereka  akan  sewenang-wenangnya membuang sampah-sarap merata-rata tanpa menghiraukan keadaan persekitaran dan  mereka  merasakan  itu  adalah  perkara  remeh  apabila  mencampakkan secebis tisu atau sisa makanan ke dalam sungai. Organisasi  seperti  kilang  yang  menjalankan  operasi pengeluaran  yang  melibatkan  sisa  toksik  dalam  penghasilan  keluaran  mereka selalu mengambil langkah mudah apabila membuang sisa toksik tersebut terus ke dalam laut atau sungai jika kilang  itu  didirikan  berdekatan  dengan kawasan  tersebut.
Perbuatan masayarakat yang tidak bertanggungjawab ini telah mencemarkan sungai-sungai yang bersih dan menyebabkan kematian hidupan akuatik. Kualiti air yang kotor ini secara tidak langsung telah menjejaskan industri pelancongan kerana pelancong asing tidak suka akan persekitaran alam sekitar yang kotor dan tidak cantik ini. Apabila industri pelancongan terjejas, maka sektor ekonomi negara juga terjejas. Industri pelancongan kini telah banyak menyumbang dalam sektor ekonomi negara kita. Sebagai contohnya, negeri Sabah mempunyai pulau-pulau yang cantik dan amat menarik minat pelancong asing kerana mereka dapat menjalankan aktiviti di dalam laut. Apabila berlakunya pencemaran air akibat sikap masyarakat yang tidak bertanggungjawab mencemarkan air laut, maka pelancong asing tidak lagi berminat melancong ke negara kita kerana kualiti air yang amat mengecewakan mereka. Secara tidak langsung, sektor ekonomi negara kita akan mengalami kerugian. Pendek kata, sikap masyarkat yang mementingkan diri sendiri telah mendatangkan kesan negatif dalam pembangunan negara.

Monday, 1 September 2014

ALAM SEKITAR DAN PENCEMARAN


ALAM SEKITAR DAN PENCEMARAN

       




PENGENALAN

        Alam sekitar merujuk kepada segala komponen hidup (biosis) seperti haiwan dan tumbuhan dan yang bukan hidup (abiosis) contohnya, tanah, bentuk muka bumi, cuaca dan factor kimia . Alam sekitar memainkan peranan yang penting dalam kehidupan manusia. Alam sekitar yang tidak tercemar memberikan kita satu suasana yang selesa serta menyamankan dan membawa impak dalam pembangunan negara. Manusia berusaha membangunkan alam sekitarnya untuk kesejahteraan hidup. Satu keseimbangan wujud antara manusia dan organisma dengan alam sekitar dan keseimbangan ini adalah dinamik, iaitu sentiasa berubah.

Populasi manusia yang kian meningkat pada hujung kurun ini telah membawa kepada peningkatan pelbagai masalah alam sekitar. Aktiviti yang dijalankan seperti perindustrian and pembalakan telah mengancam alam sekitar. Masalah ini semakin serius dan telah diiktiraf sebagai masalah sedunia dan telah dibincangkan di Sidang Puncak Bumi di Rio de Janeiro pada 1992. Isu-isu yang dibincangkan termasuklah pencemaran. Aktiviti-aktiviti manusia kini yang hidup dengan kemajuan sains dan teknologi serta mementingkan pembangunan ekonomi merupakan punca pencemaran yang utama. Pencemaran mengubah persekitaran sehingga keseimbangam ekosistem terjejas.

Pencemaran ialah pembuangan bahan-bahan buangan secara tidak terkawal. Pencemaran ialah pengumpulan bahan-bahan yang tidak sesuai kepada kehidupan di persekitran kita. Bahan-bahan yang tidak sesuai ini dipanggil bahan-bahan pencemaran. Kebanyakan pencemaran yang berlaku adalah disebabkan aktiviti-aktiviti manusia. Terdapat berbagai jenis pencemaran iaitu pencemaran tanah, udara, air dan bunyi. Pencemaran alam sekitar ini telah memberi impak yang besar terhadap pembangunan negara kiat dan kehidupan harian manusia.








Wednesday, 20 August 2014

Langkah-langkah untuk memartabatkan bahasa Melayu




Langkah-langkah untuk memartabatkan bahasa Melayu


Bahasa Melayu merupakan bahasa pengantar pendidikan yang telah banyak membawa kemajuan kepada pembangunan negara serta dapat menerapkan perpaduan dalam kalangan rakyatnya. Oleh itu, wajarlah keyakinan dan kepercayaan kepada kemampuan bahasa Melayu diteruskan dalam sistem pendidikan negara. Rakyat Malaysia mesti yakin dengan keupayaan dan kemampuan bahasa kebangsaan. Kita seharusnya berasa bangga dengan bahasa Melayu kerana telah dikekalkan sehingga sekarang sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.  Semua pihak perlulah bekerjasama untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan.
Dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kita, kita sebagai pelajar perlu rajin mempelajari bahasa Melayu kerana ia merupakan satu-satunya bahasa yang menyatukan rakyat yang berbilang kaum di negara ini. Pelajar boleh menyemai minat dalam mempelajari bahasa Melayu melalui pelbagai cara yang berkesan seperti mendengar lagu Melayu.  Pelajar juga boleh melibatkan diri dalam komuniti seperti di sekolah dan badan-badan yang relevan. Di sekolah, pelajar boleh menimbulkan kesedaran tentang keistimewaan bahasa Melayu dan bagaimana ia melambangkan jati diri bahasa Melayu di kelas. Para pelajar boleh menjalankan program-program yang berkaitan dengan bahasa Melayu seperti bengkel mempromosikan bahasa Melayu dan kempen kesedaran tentang kepentingan bahasa Melayu. Aktiviti-aktiviti ini tentu dapat membantu para pelajar memartabatkan bahsa Melayu.
Selain itu, idea Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) juga harus dilupuskan. Sifat dominan bahasa Inggeris dalam kehidupan kita tidak harus dinafikan, tetapi langkah ini dilihat berpotensi memadamkan kegemilangan bahasa Melayu di peringkat lokal. Jika teras pentarbiahan turut dilaksanakan dalam bahasa asing, tidak mustahil pada satu era nanti, generasi akan datang tidak mengenali lagi perkataan 'Melayu'. Ironinya, usaha Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dilihat sangat proaktif sebagai mangkin yang efektif demi membejat kemelut bahasa yang sedang dihadapi Malaysia kini.



Selain itu, kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil juga tidak harus dikerling enteng berikutan perkara tersebut berkemampuan memperkasakan bahasa Cina dan bahasa Tamil lantas menjatuhkan darjat bahasa ibunda di sekolah-sekolah berkenaan. Guru-guru di sekolah perlu mengajar murid-murid menguasai bahasa Melayu dengan cara yang berkesan. Sebagai contoh, guru boleh mengajar murid murid dengan perkataan Melayu yang senang dan menjalankan aktiviti-aktiviti yang melibatkan penggunaan bahasa Melayu seperti aktiviti menyanyi dan bercerita. Pelbagai pertandingan yang menarik minat para pelajar untuk mempelajari bahasa Melayu juga boleh dianjurkan seperti pertandingan menulis karangan, bersyair dan menyanyi. Sudah tentulah para pelajar akan lebih meminati bahasa Melayu setelah menyertai pertandingan sebegini. Dengan itu, tujuan memartabatkan bahasa Melayu dapat dicapai.
Di samping itu, bagi mengukuhkan kedudukan bahasa Malaysia dalam sanubari rakyat pelbagai kaum, DBP harus melaksanakan pelbagai aktiviti yang mencapai minat umum terhadap keindahan bahasa Melayu. Aktiviti seperti Sayembara Pidato Antarabangsa anjuran Kementerian Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Pelancongan dengan usahasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) baru-baru ini dilihat sebagai anjakan paradigma yang berpotensi memperkenalkan bahasa kebangsaan di peringkat dunia. Deduksinya, langkah yang sama harus diambil DBP untuk mewujudkan 'jiwa bahasa' dalam kalangan rakyat.
Sehubungan dengan itu, peranan sektor swasta dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dab bahasa rasmi amatlah dialu-alukan. Sektor swasta haruslah peka dan menganjurkan lebih banyak kegiatan bahasa di luar negara seiring dengan promosi perniagaan atau produk masing-masing. Kegiatan promosi dan pasaran secara terancang akan memberikan pulangan yang merangsangkan perkembangan bahasa Malaysia sebagai bahasa ekonomi, sains, dan teknologi. Papan-papan tanda dan iklan yang mempromosikan sesuatu produk haruslah menggunakan kata-kata bahasa Malaysia yang betul dalam semua urusan rasmi. Dengan cara ini, kita akan dapat mendaulatkan dan memartabatkan bahasa Malaysia bukan sahaja di negara kita malah di pentas dunia.



Kesimpulannya, semua pihak haruslah menggembleng tenaga untuk meledakkan darjat bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dalam semua urusan harian, selain status utamanya sebagai bahasa kebangsaan. Janganlah kita menjadi manusia yang khusyuk menyelami sungai pemodenan dengan mementingkan bahasa asing sebaliknya melupakan kebolehan bahasa Melayu untuk membawa kita ke mata dunia. Pepatah Melayu ada menyebut, "yang kurik itu kendi, yang merah itu saga, yang baik itu budi, yang indah itu bahasa". Oleh hal yang demikian, marilah kita berpijak di bumi yang nyata dengan menjaga bahasa kebangsaan supaya kekal nirmala dan 'tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Wednesday, 13 August 2014

BUDI BAHASA BUDAYA KITA


BUDI BAHASA BUDAYA KITA





Kesantunan dikenali sebagai etiket atau tingkah laku yang sopan santun. Kesantunan dapat dijelmakan dalam pelbagai cara oleh individu, iaitu sama ada dalam perlakuan, pertuturan dan penulisan. Budi bahasa merujuk kepada tutur kata, kelakuan, sopan santun dan tatatertib, akal kebijaksanaan dan perbuatan kebajikan tercantum dalam kata-kata mulia, setiap gerak laku, tutur kata, tata hidup, pemikiran dan perasaan baik terhadap orang lain. Amalan kesantunan dan budi bahasa sangat penting kepada diri seseorang, bangsa, negara dan agama untuk mengajarkan cara hidup yang baik. Kedua-dua amalan ini diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat untuk mewujudkan suasana aman, harmoni, kerjasama, hormat- menghormati, kasih sayang, dan kesejahteraan hidup. Orang Melayu menjunjung tinggi nilai budi dan bahasa serta kesantunan. Mereka menganggap budi bahasa dan kesantunan sebagai satu entiti yang bertaut dan saling melengkapi. Video ini telah banyak menunjukkan contoh budi bahasa dari segi bentuk dan jenis kesantunan dalam masyarakat kita.
Kesantunan mempunyai bentuk dan jenis yang tersendiri, iaitu kesantunan verbal, kesantunan nonverbal atau tidak verbal serta kesantunan lisan. Kesantunan verbal merujuk kepada komunikasi lisan, bahasa sapaan dan protokol kata panggilan. Kesantunan ini merupakan cara bertutur seseorang yang bersopan santun dan berlemah lembut serta mengandungi nasihat yang baik, tunjuk ajar serta simpati kepada masyarakat. Bertutur dengan bersopan santun dapat menjaga perasaan orang lain serta tidak menyinggung perasaan orang lain dan secara tidak langsung dapat mengelakkan pertelingkahan dan perselisihan faham. Sebagai contohnya, video ini telah menunjukkan nilai hormat-menghormati antara satu sama lain. Murid-murid di sekolah akan bertegur sapa dan mengucapkan salam apabila bertemu dengan cikgu. Mereka tidak menggunakan panggilan sesuka hati semasa bercakap dengan guru mereka. Rakan-rakan juga akan saling bersalaman untuk mengeratkan hubungan persahabatan mereka. Mereka juga menggunakan panggilan yang menyenangka hati semasa berbual-bual dengan rakan agar tidak menyinggung perasaan rakan. Amalan mengucapkan salam kepada orang yang labih tua atau rakan-rakan dapat mencerminkan seseorang yang berakhlak mulia.  Pertuturan yang berbudi bahasa seharusnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Oleh itu, masyarakat Malaysia terutamanya golongan muda perlu mengamalkan amalan saling menghormati tanpa mengira bangsa, kaum dan agama. Ingatlah bahawa bahasa jiwa bangsa.
Video ini juga telah menunjukkan kesantunan iaitu bertimbang rasa dan berhemah tinggi yang sering diamalkan dalam kalangan rakyat Malaysia. Sebagai contohnya, murid yang lewat menghadiri kelas tersebut meyedari kesalahannya lalu meminta maaf kepada gurunya dan berjanji tidak akan megulangi kesalahannya lagi. Guru yang bertimbang rasa dan berhemah tinggi itu telah memaafkan murid tersebut. Hal ini telah menunjukkan masyarakat harus mengamalkan amalan mengakui kesalahan dengan meminta maaf kepada orang lain apabila melakukan kesalahan. Masyarakat juga perlu mengamalkan amalan budi bahasa iaitu berhemah tinggi dengan tidak mengeluarkan perkataan atau ayat yang kasar semasa bercakap sama ada dengan orang yan lebih tua daripada kita atau orang yang lebih muda. Amalan bertimbang rasa juga mampu mengeratkan hubungan antara satu saman lain di samping mengelakkan pertelingkahan dan perselisihan faham.
Kesantunan nonverbal atau tidak verbal pula merupakan budi bahasa dari bentuk tingkah laku dapat menyenangkan hati orang, tidak menyinggung perasaan orang lain, menjaga kepentingan orang lain, berhemah tinggi serta bersopan santun. Sebagai contohnya, video ini telah menunjukkan sifat bantu-membantu.  Seorang murid telah terjatuh dilanggar oleh seorang murid lelaki yang berjalan dengan tergesa-gesa sambil menjawab telafon. Kertas-kertasnya bertaburan di atas lantai. Namun, murid lelaki itu tidak berhenti untuk menolongnya sebaliknya terus berjalan. Sikap yang tidak bermoral ini harus dielakkan dalam masyarakat kita. Pada masa yang sama, seorang murid perempuan yang duduk di sana segera berjalan ke arah gadis itu dan membantunya mengutip semua kertas. Tingkah laku yang mulia ini harus dipelajari oleh setiap orang tanpa mengira bangsa, kaum dan agama. Budi bahasa merupakan sumbangan dan jasa yang dilakukan untuk membantu orang yang berada dalam kesusahan oleh seseorang dengan hati yang ikhlas tanpa mengharapkan balasan daripada orang yang dibantu. Tingkah laku yang berbudi bahasa seharusnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Sebagai rakyat Malaysia, amalan menolong orang yang dalam kesusahan harus diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat dengan tidak hanya memperhatikan kepentingannya sendiri, tetapi kepentingan orang lain juga.
Selain itu, amalan menyayangi dan mengahargai kemudahan awam juga merupakan kesantunan dari segi tingkah laku yang perlu diamalkan oleh setiap masyarakat. Budi bahasa dapat ditunjukkan dengan amalan yang mulia ini kerana amalan ini merupakan sifat baik, perbuatan baik atau kebajikan yang boleh membawa faedah dan kebaikan kepada orang lain. Video tersebut telah menunjukkan amalan mulia ini. Seorang murid lelaki yang menggunakan telefon awam tetapi telafon awam itu tidak berfungsi. Murid tersebut marah dan tidak meletakkan gagang telefon pada tempat asal. Kebetulan pada masa itu, dua orang murid perempuan berlalu di tempat itu, mereka segera meletakkan gagang telefon ke tempat letak gagang telfon. Tingkah laku yang mulia ini mampu menunjukkan budi bahasa masyarakat kita. Setiap orang mempunyai hak untuk menggunkan kemudahan awam seperti telefon awam dan tandas awam. Namun, sesetengah masyarakat kita mengambil kesempatan untuk merosakkan kemudahan awam ini. Hal ini akan menyebabkan kerosakan kemudahan awam dan orang ramai tidak dapat menggunakan kemudahan awam apabila berlakunya kecemasan. Pihak kerajaan juga akan mengalami kerugian kerana terpaksa membelanja kos yang banyak untuk membaiki kemudahan awam yang rosak. Oleh hal yang demikian, amalan menyanyangi dan menghargai kemudahan awam perlu diamalkan.